Wednesday, December 9, 2009

Bihun Sup Utara


Bahan-bahan:

Bahan A:

1 bungkus bihun

2 sudu kecil serbuk kunyit

1 peket kecil lobak masin

2 biji tauhu keras/ taukua

cili padi

5 biji cabai merah

5 biji telur (direbus) (pilihan)

bawang goreng

daun bawang

daun sup

Bahan B: (untuk kuah)

1 kg tulang daging

300 gm daging berlemak (pilihan)

4 sudu besar rempah sup

sup bunjut tulang adabi

4 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

1 batang kulit kayu manis

2 biji bunga lawang

4 biji bunga cengkih

4 biji buah pelaga

2 inci halia

garam


Bahan C: (untuk sos cili)

minyak

segenggam cili kering (direbus)


Cara-cara:


1. Tulang daging direbus dengan rempah sup, sup bunjut dan halia. Rebus hingga daging lembut. Tambahkan air jika air hampir kering.

2. Selepas daging lembut, perlahankan api. Tumis bawang merah, bawang putih, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga di kuali lain. Apabila bahan tumisan kekuningan, angkat kuali dan tuangkan kesemuanya ke dalam periuk tulang daging berkenaan. Kemudian tutup api dan terus tutup periuk agar bau sup tadi tidak hilang.

3. Bahan C hendaklah direbus. Kemudian mesin bahan C iaitu cili kering dan tambahkan air. Kemudian, tumis cili kering di dalam kuali sehingga kering. Toskan dan boleh disimpan di dalam bekas.

4. Selepas semua bahan-bahan telah siap masak, panaskan air di dalam periuk. Selepas air sudah masak, masukkan bihun. Kemudian, masukkan kunyit untuk warna bihun menjadi kekuningan. Bihun dibiarkan seminit sahaja di dalam periuk agar tidak lembik dan toskan.

5. Bihun bolehlah dihidang bersama bahan A mengikut cita rasa masing-masing.

p/s: Kuantiti 10 orang

Laksa Penang


Bahan-bahan:

Bahan A:

laksa minyak / 1 kg laksa kering (dicelur)

1 biji timun

5 biji telur (direbus)

5 biji cabai merah

10 biji cili padi

2 ulas bawang besar

daun pudina

daun salad

1 biji nenas sederhana kecil

limau nipis

otak udang


Bahan B: (untuk kuah)

1/2 kilo ikan kembung (direbus)

1/2 kilo ikan pelaling / kembung (direbus)

segenggam cili kering (direbus)*

2 ulas bawang besar*

sedikit belacan*

1 tin besar sardin (diambil ikan sahaja dan diramas halus)

daun kesum

bunga kantan

2 sudu besar otak udang (pilihan)

5 keping asam keping

1 inci lengkuas

garam


Cara-cara:

1. Rebus ikan sehingga masak dan kemudian toskan. Air ikan jangan dibuang. Kemudian mesin ikan sehingga hancur dengan ditambah air. Selepas itu, ikan yang hancur ditapis terus ke periuk yang diletakkan di atas api. Air ikan yang direbus tadi ditapis dan dimasukkan sekali ke dalam periuk.

2. Bahan B yang bertanda * dimesin dan dimasukkan ke dalam periuk tapisan ikan tadi. Kemudian masukkan asam keping, bunga kantan, daun kesum, ikan sardin tin, lengkuas, otak udang dan garam. Biarkan kuah sehingga mendidih.

3. Bahan A hendaklah dihiris halus dan dimakan bersama-sama laksa mengikut cita rasa masing-masing.
p/s: kuantiti untuk 10 orang